Monday, February 13, 2012

KONSEP DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM


Semua umat manusia di muka bumi ini adalah bersaudara sekalipun berlainan rupa dan bahasa, bersatu atas dasar 'saudara senasab' yang bapanya bernama Adam A.S, dipilih oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Dan dari aspek nasab ini juga, fahamilah bahawa bangsa Melayu sebenarnya adalah saudara kepada bangsa Cina, bangsa India, bangsa Arab, bangsa Eropah dan seluruh umat bangsa termasuklah bangsa Yahudi. Sekalipun hubungan 'SAUDARA SEAQIDAH' tidak mungkin selama-lamanya akan wujud antara pemeluk agama Islam dan penganut agama Kristian, tetapi hubungan kedua-dua agama terbesar ini wujud dari sudut nasab yang sama iaitu Adam A.S. Sabda Rasulullah S.A.W, "Manusia (semuanya) berasal dari Nabi Adam A.S (sulbi yang sama), dan Adam itu dari tanah" - Musnad Imam Ahmad

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mainstream yang agak keterlaluan malah tidak benar berlaku di tanah Melayu apabila Islam dijadikan barang dagangan untuk melaga-lagakan penganut agama lain. Identiti dan semangat yang dilaungkan pula bukan kerana kefahaman dan ilmu, tetapi lebih kepada nafsu dan doktrin yang lahir dari parti perkauman yang dangkal. Pernahkah kita terfikir Baginda Rasulullah S.A.W mengalami kesukaran yang berganda-ganda mengajak manusia memeluk Islam, ketika itu jumlah umat Islam di aras kadar minoriti. Sedikit, tidak ramai seperti hari ini. Tiba-tiba jumlah kita yang ramai ini hanya mencalar keunggulan dakwah yang telah ditempa dan dirintis ribuan abad oleh Rasulullah S.A.W dan generasi Para Sahabat.

Islam bukan agama perkauman, bukan juga paksi kepada permusuhan. Islam adalah agama fitrah bagi sekalian manusia, kerana itu setiap umat manusia berpotensi untuk memeluk Islam jika mereka benar-benar menggunakan akalnya untuk berfikir tentang kejadian alam semesta.

Tetapi musuh Islam tidak pernah berhenti untuk menafikan ke-universalisme Islam. Maka Islam sering dicemar dengan label-label perkauman seperti the Saracens, Moors, Tatars, Turks, Gazan, Uighur dan sebagainya. Pernah di Eropah satu ketika dahulu, orang yang memeluk Islam disebut turned Turks (menjadi Turki). Manakala dalam konteks rantau ini, mereka yang masuk Islam pula disebut masuk Melayu.

Begitu juga Islam sering ditohmah dengan paksi kepada keganasan. Islam dan Kristian sebagai contoh, sering diibaratkan bagai api yang membakar dan ranting kayu yang kering, apabila disatukan ia akan marak membesar sehingga tidak terkawal. Dua agama terbesar ini dianggap sering bermusuhan, berperang, ibarat pertembungan Sultan Salahuddin dan Guy de Lusignan, Sultan Yusuf Tasyifin dan Alfonso. Tetapi sedarkah kita, tokoh-tokoh mujahid tersebut memperjuangkan Islam bukan kerana bermusuh dengan orang yang agama Kristian, tetapi adalah kerana mempertahankan hak dan menghentikan kezaliman yang bermaharajalela.

Darihal itu keadilan Islam dapat dipersaksikan di sekalian wilayah dan benua. Keadilan itu jugalah yang akan menghasilkan manusia-manusia yang akur dengan keesaan dan keluhuran Zat Allah Taala yang menjadikan Islam sebagai risalah ke-Rasulan Nabi Muhammad S.A.W.

Keadilan Islam bukan warisan Roman Justice, iaitu keadilan yang hanya diperuntukan buat bangsa Rom. Tetapi keadilan Islam didasari oleh norma-norma etika samawi yang murni yang mengiktiraf karamah insaniyyah tanpa mengira bangsa, warna dan bahasa. Di-naqal Ibn Asakir di dalam kitabnya, 'Tarikh Dimashq' bahawa Abu Ubaidah R.A telah mengundurkan para tenteranya dari wilayah Hims, Palestin ke kubu terkuat masing-masing selepas tentera Rom berkumpul di kota Yarmouk untuk menyerang Islam. Lalu Abu Ubaidah mengarahkan pegawai-pegawainya memulangkan jizyah dan kharaj yang dikutip dari kaum Zimmi. Abu Ubaidah juga memberitahu kepada kaum Zimmi yang menduduki Hims bahawa orang-orang Islam tidak boleh lagi melindungi mereka setelah jizyah tersebut dipulangkan kembali.

Maka menangislah penduduk Kristian yang tinggal di daerah tersebut sambil berkata, "Wahai jemaah Islam! Kamu semua yang paling kami kasihi berbanding Rom walaupun mereka saudara seagama seperti kami. Kamu (tentera Islam) sangat kami hormati kerana menepati janji, mempunyai belas kasihan kepada kami, kamu tidak melakukan kezaliman terhadap kami dan bersikap adil ke atas wilayah kami, sebaliknya -tentera Rom - selalu menindas urusan dan penempatan kami". [Rujuk Tarikh Dimashq, Ibn Asakir (14/130). Futuh Al Buldan hlmn.137].

Begitu juga ketika Amru bin al ‘Ash berjaya membuka Kota Kaherah. Beliau telah menulis surat kepada seluruh penduduk Mesir sebagai janji yang bakal ditunaikan apabila Islam menguasai negara tersebut. Surat tersebut berbunyi, "Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Ini adalah (amanah) yang akan ditunaikan Amru bin al 'Ash ke atas penduduk Mesir agar mengecapi suasana aman makmur; terhadap diri mereka, pegangan mereka, harta-harta mereka, gereja (tempat ibadat) mereka, keturunan, sumber rezeki mereka di daratan dan di lautan. Aku tidak akan menganggu sesuatupun dari hak mereka dan aku tidak akan menguranginya" - Tarikh at Tobari, jilid 2:513-514.

Jadi pengembangan dakwah yang berlaku seterusnya dalam sejarah seperti itu terhasil dengan keberkesanan akhlak, sikap, disiplin yang dimiliki oleh umat. Bukan hanya memerintah dan cakap tak serupa bikin.

Islam telah berjaya mencairkan hati masyarakat non-Muslim yang kemudiannya memeluk Islam dengan penuh redha dan keyakinan. Dalam peristiwa lain ketika umat Islam berada di dalam peristiwa hijrah pertama, Rasulullah S.A.W mengarahkan beberapa orang Sahabat berhijrah dari Makkah ke Habsyah. Seorang Raja Kristian bernama Najasyi telah menerima rombongan-rombongan Rasulullah tersebut agar dilindungi dari kekejaman kafir Quraish. Kata Najasyi kepada Amru bin al 'Ash (ketika itu masih belum memeluk Islam) dan Abdullah bin Rabeah, "Sesungguhnya (apa yang dibacakan Jaafar bin Abi Talib) ucapan ini adalah kebenaran yang dibawa oleh Nabi Isa A.S yang tentunya berasal dari sumber yang sama. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka sama sekali kepada kalian berdua selama aku masih hidup".

Benar, sejarah telah membuktikan perang Salibiyyah berlaku antara Islam dan Kristian, akan tetapi ke semua tujuan peperangan yang diarahkan oleh Allah Taala kepada umat Islam adalah demi mempertahankan wilayah, aqidah, hak dan keadilan sesama manusia. Bukannya membinasakan seluruh orang yang tidak beriman kepadaNya berdasarkan pepatah, 'berpatah arang berkerat rotan’, 'membujur lalu melintang patah'.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Barang siapa yang terhalang untuk berlemah-lembut, maka ia terhalang untuk mendapatkan segala kebaikan" - Sahih Muslim



Islam Bukan Agama Kekerasan

Secara normatif, Islam tidak menganjurkan atau mendorong umatnya melakukan kekerasan, baik terhadap sesamanya mahupun terhadap penganut agama lain. Islam tidak mengajar umatnya untuk memeras ugut, memaksa penganut agama lain supaya akur dengan dasar-dasar keimanan agama Islam. Firman Allah bermaksud, "Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentulah beriman seluruh manusia di muka bumi seluruhnya. Tetapi adakah kamu hendak memaksa manusia agar mereka menjadi orang-orang yang beriman?" -Surah Yunus:99

Allah Taala menegah perbuatan 'ikrah' - bentuk paksaan sebagai jalan untuk menghasilkan 'keimanan'. Islam mengajar umatnya 'berperang' terhadap sesuatu kumpulan ataupun kaum BUKAN KERANA PERBEZAAN AGAMA, tetapi apabila Islam dimusuhi, diinjak, ditindas, ataupun sesuatu kelompok yang mengisytiharkan pendirian untuk memerangi Islam, baharulah umat Islam wajib mengangkat senjata. Justeru itu, umat Islam sepatutnya menggunakan seluruh kesempatan dan ruang waktu aman yang diberikan untuk berdakwah.

Objektif Penulisan Ini

Bagi maksud penulisan ini, beberapa konsep tasawwur dakwah perlu kita kaji mulai hari ini untuk memastikan fungsi dakwah mampu berkompetisi dengan zaman dan tuntutan-tuntutannya, perubahan serta kondisi global-nya. Konsep ‘Al Ukhuwatul Muwatinun', ‘Al Ukhuwatul Insaniyyah' dan 'Dar Al Dakwah', adalah antara label-label kontemporari yang diwujudkan oleh intelektual Islam abad ini antaranya Dr. Yusuf al Qaradhawi, Dr. Solah Sultan, Dr. Muhammad Imarah, Dr. Akram Kassab dan ramai lagi.

Konsep-konsep tersebut amat penting difahami kerana ia menghasilkan intipati pemikiran pendakwah yang bergerak seiringan dengan check-point kebangkitan Islam. Sebelum ini, tasawwur dakwah dalam ruang lingkup tradisi umpamanya menggunakan istilah ahlu Zimmah, Dar Al Harb dan kafir Harbi sehingga menimbulkan implikasi yang agak signifikan kepada umat Islam dan telah diaplikasikan sejak berkurun tahun dahulu. Ingin dijelaskan di sini, bukanlah bermaksud tradisi ilmiah tersebut salah, tetapi dalam ruang massa yang kian terbuka, kita perlukan tajdid haraki sehingga membolehkan dakwah itu benar-benar berperanan ke semua peringkat. Dakwah for All untuk merealisasikan Islam for All.
Apatah lagi setelah Perang Dunia ke-2, Khilafah Islamiyyah telah berpecah, kucar-kacir berlaku di negara Islam di setiap belahan dunia. Oleh itu, gerakan Islam pada hari ini perlu beroperasi dalam ruang lingkup tasawwur yang lebih bersifat universal dan terbuka terutamanya apabila mendepani isu pluraliti kaum, agama dan warganegara.

Ukhuwatul Muwatinun (Saudara Senegara)

Hari ini apabila ditimbulkan hak-hak kaum minoriti di sesebuah negara yang majoritinya penduduk Islam, ramai yang mengklasifikasikan kaum minoriti non-Muslim ini sebagai ahlu Zimmah. Menjelaskan konsep ahlu Zimmah dalam konteks masyarakat pada hari ini, Dr.Yusuf Al Qaradhawi di dalam bukunya ‘Ad Din wa al Siyasah' berpandangan bahawa konsep istilah ini sekarang lebih bersesuaian digantikan dengan 'Al Ukhuwatul Muwatinun'. Pandangan ini dilakukan kerana istilah ahlu Zimmah asalnya terpakai kepada kaum minoriti yang membayar jizyah untuk mendapat jaminan perlindungan manakala pada hari ini kaum minoriti seperti di Malaysia adalah berbeza. Masyarakat non-Muslim di Malaysia bukan lagi kaum zimmi, dan ini adalah suatu pengkategorian yang sudah kehilangan justifikasi kesejarahannya.

Ketika era pemerintahan Amirul Mukminin Umar Al Khattab, Khalid Al Walid pernah mengatakan kepada beberapa komuniti penduduk zimmi bahawa, "Sekiranya kami melindungi kamu maka kami berhak mendapatkan jizyah. Jika tidak maka kami tidak berhak memperolehinya". [Rujuk Tarikh At Tabari jilid 1, hlmn.2055].

Malah pemerintah Islam berhak membatalkan jizyah kepada non-Muslim jika mereka menunjukkan kesetiaan kepada negara, mempertahankan negaranya yang sama dihuni oleh umat Islam. Maka istilah 'al Ukhuwatul Muwatinun' ini dilihat mampu memberikan tasawwur baru kepada method dan pendekatan dakwah kepada golongan non-Muslim.

Malah lebih jauh lagi Dr.Yusuf Al Qaradawi menyebut bahawa warga non-Muslim sebagai saudara ketika merujuk kaum Kristian Koptik (Qibti) dengan sebutan 'Ikhwanuna Al Aqbat', manakala Dr.Akram Kassab dengan istilah 'Ar Rabitah al Wataniyyah'. Dalam penghujahan ini mereka merujuk sejumlah ayat dari surah Al Shu'ara (Rujuk ayat 123-124 dan 160-161) tentang hubungan ukhuwwah di antara Para Rasul (Nuh, Hud, Soleh dan Lut) dengan kaum mereka (kaum 'Ad, Tsamud dan sebagainya), di mana sejumlah besarnya kufur dan mendustakan Para Rasul.

Namun demikian Al Quran menyebut hubungan antara Para Rasul dengan kaumnya yang kufur tersebut sebagai hubungan saudara. Maka di sini menunjukkan bahawa Islam tidak sekadar memperakui persaudaraan seaqidah yang lazim kita fahami. Persoalannya, bersediakah kita untuk mengatakan Ah Chong yang tinggal di Pulau Pinang, dan Muthusamy yang tinggal di Batu Caves sebagai ‘saudara’ senegara kita?

Al Ukhuwatul Insaniyyah (Saudara Sesama Insan)

Antara tohmahan yang kerap dihadapkan kepada Islam adalah ketidakupayaan syariat untuk melindungi hak-hak asasi manusia. Tohmahan ini juga merupakan salah satu faktor menjadikan dakwah Islam dilihat tidak bersifat universal dan sering mendapat tanggapan yang salah di mata umum. Persepsi seperti ini boleh diperbetulkan melalui konsep 'Al Ukhuwatul Insaniyyah' yang diterapkan kepada seluruh anggota pendakwah. Bertepatan dengan ruh ayat 70 surah Al Isra' yang bermaksud, "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam".

Ayat ini dengan tegas mengatakan bahawa Allah memuliakan manusia dan mengiktiraf hak-hak asasi yang sebahagian besarnya adalah menjadi kewajipan setiap individu. Melalui intipati ayat ini, gerakan dakwah dan juga apa sahaja aktiviti dakwah perlu memberi perhatian dalam melindungi dan memperjuangkan hak-hak asasi manusia agar dapat dilihat keadilan ajaran Islam itu secara hakiki. Ini kerana Islam tidak pernah menyetujui sempadan kesukuan yang sempit. Maka, tidak ada golongan yang diunggulkan semata-mata kerana darah keturunan, ataupun warisan yang dipusakai dari bapanya.

Keunggulan bukan hak eksklusif golongan tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua golongan manusia yang sanggup memenuhi syarat. Keunggulan seperti itulah yang menjadi syarat di dalam surah Ali Imran ayat 110, "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik".

Keunggulan yang mendapat pengiktirafan Allah dalam ayat tersebut memiliki tiga syarat :

  • Komitmen terhadap nilai-nilai kemakrufan.
  • Berjuang menentang gejala kemungkaran.
  • Beriman dengan Allah dengan sebenar-benar keyakinan.

Dar Al Dakwah

Menyentuh kepada konsep 'kenegaraan', istilah tradisi yang sering digunakan bagi membezakan daerah penduduk Islam dengan bukan Islam ialah dar al harb. Melalui konsep ini jugalah timbulnya istilah kafir harb yang sering di-salah fahami bukan sahaja masyarakat non-Muslim malah komuniti Muslim juga turut menerima tempias yang sama. Lebih malang lagi apabila istilah ini dipolitikkan demi kepentingan parti. Maka secara tidak langsung istilah-istilah ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan yang kurang matang kepada kesuburan dakwah.

Dengan tidak menafikan keabsahan istilah kafir harbi, dar al harb, dar ahdi, dar maslubah dan sebagainya berasaskan isu-isu lain, akan tetapi bergerak di dalam ruang lingkup tasawwur yang menganggap warganegara non-Muslim itu sebagai kafir yang diperangi menjadi satu permasalahan yang sangat besar implikasinya. Dari hal ini istilah Al Ukhuwatul Muwatinun, Al Ukhuwatul Insaniyah dan Dar Al Dakwah wajar dijadikan tasawwur dakwah masa kini. Tasawwur dakwah yang bersifat universal dan kontemporari inilah yang akan dapat memberikan nafas baru bagi setiap gerakan yang ingin memacu kredibiliti dakwah di persada antarabangsa terutamanya dalam membina attitude umat Islam terhadap penganut agama lain.

Penutup

Apa yang telah disebut tadi hanyalah sebuah konsep baharu yang sebenarnya telah lama diaplikasikan, cuma mungkin ia tidak disedari oleh kita. Begitupun konsep-konsep baharu yang disebut adalah secara ringkas, sedang kehendak dan akhlak seorang pendakwah adalah teras utama dalam melaksanakan tugas maha berat ini. Kita tidak sepatutnya merasa terpencil, kerana usaha dakwah mestilah dilaksanakan secara berjamaah dengan gerak kerja yang tersusun demi menjamin mobilasi-nya bergerak dengan baik. Firman Allah Taala, "Dan jika kamu tidak lakukan (amanah berdakwah sebagaimana yang diperintahkan) ini bererti kamu tidak menyampaikan amanah risalahNya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia..." - Al Maidah:67


petikan artikel diambil daripada link http://www.tarbawi.my/

No comments:

Post a Comment