Saturday, July 16, 2011

Mengapa Orang Asli Perlu Memeluk Agama Islam?

Artikel ini berdasarkan sebahagian laporan bengkel Sukarelawan Dakwah Orang Asli 2011 anjuran Yayasan Al-Khalifah. Laporan penuh klik sini.



Resolusi digulung oleh Dato’ Dr. Hj Abdul Razak bin Hj. Kechik iaitu Pemegang Amanah Yayasan Al-Khalifah dan juga Presiden Malaysian Relief Agency. Beliau menyatakan tidak mustahil untuk mengajak orang yang bukan Islam untuk memeluk Islam terutama Orang Asli jika pendekatan dan metod kita secara berhemah. Beliau menyatakan 7 sebab mengapa Orang Asli perlu memeluk agama Islam iaitu:


1. Islam agama rasmi Malaysia
2. Raja dan pemimpin negara beragama Islam
3. Bantuan badan kerajaan dan swasta
4. Wadah penyatuan 18 suku kaum
5. Menjadi bangsa yang kuat
6. Memupuk kemesraan dan semangat berintegrasi
7. Islam Agama yang Syumul


Yang pertama, Islam adalah agama rasmi Malaysia. Jadi kerajaan Malaysia memperuntukan keistimewaan kepada agama Islam untuk diamalkan dan dikembangkan dalam negara ini di mana perutukan dana untuk perkembangan Islam mendapat bantuan terus daripada kerajaan persekutuan dan pada masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan.


Yang kedua, Raja dan Pemimpin utama negara kita majoriti beragama Islam. Kelebihan itu menjadikan pemimpin Islam kita dihormati dan disanjung oleh semua rakyat jelata. Yang ketiga, masyarakat Islam di negara ini mendapat banyak bantuan daripada badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang sudi menghulurkan bantuan malah agensi agama memperuntukan beberapa bantuan kepada orang asli yang baru memeluk Islam dan ianya berterusan.


Yang keempat dan kelima, Islam sebagai agama penyatuan. Ia menjadi wadah penyatuan 18 suku kaum asli di Malaysia. Berdasarkan cara hidup dan pegangan 18 suku kaum orang asli, tiada cara untuk menyatukan mereka kecuali dengan agama. Islam menjadi platfom terbaik untuk menyatukan mereka sebagaimana Islam menyatukan semua bangsa di dunia atas kesamaan tauhid dan akidah. Dengan itu, apabila bersama masyarakat Melayu yang sudah sedia beragama Islam, menjadikan bumiputera sebagai bangsa yang kuat dan disegani oleh bangsa lain.


Yang keenam, orang asli amat rapat dengan orang Melayu disebabkan kesamaan antara mereka. Jadi apabila bersama atas kesamaan agama ia menerbitkan kemesraan sekaligus hidup berintegrasi dapat diamalkan justeru semangat tolong menolong dan bekerjasama antara kaum dapat dipupuk.


Sebab yang ketujuh adalah kelebihan agama Islam itu sendiri dimana Islam adalah agama yang baik dan Syumul (menyeluruh). Islam merangkumi semua aspek kehidupan berkaitan dunia dan akhirat. Justeru, kebenaran Islam tidak boleh disangkal lagi. Bagaimanapun, perlu kita ingat yang Islam ini berkembang atas dasar kefahaman dan kesedaran. Apabila manusia sedar maka ia akan menghayati Islam sepenuhnya.


rujukan:http://www.yayasanalkhalifah.com/2011/02/bengkel-sukarelawan-dakwah-orang-asli.html

No comments:

Post a Comment